Saturday, 30 July 2016

56 buah kereta guru sedang kursus dicalar

SHAH ALAM – Sebanyak 56 buah kereta milik guru rosak dicalarkan ketika mereka menghadiri kursus di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, di sini, pada Rabu lalu.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, semua kenderaan terpaksa diletakkan di bahu jalan berdekatan berikutan kawasan tempat letak kereta di dalam kawasan sekolah tersebut tidak mencukupi.

Pengetua sekolah itu, Aznan Kassan berkata, semua guru dari sekolah di sekitar Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling datang menghadiri kursus selama dua hari berkaitan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

“Mereka meletakkan kereta masing-masing di sepanjang jalan di depan sekolah ini berikutan parkir sedia ada kebetulan agak terhad dan kawasan berkenaan pula memang tidak mengganggu laluan utama kenderaan lain.

“Kejadian ini bagaimanapun hanya mula disedari pada hari terakhir kursus PT3 sebelum mereka segera memaklumkannya kepada pihak pengurusan sekolah,” kata Aznan kepada pemberita tempatan.
jobs from my.neuvoo.com

Menurutnya, dia tidak menyangka kejadian seumpama itu boleh berlaku kerana ramai guru sekolah pernah meletakkan kereta mereka di kawasan berkenaan sebelum ini, namun tidak pula dicalarkan.

“Walaupun insiden terpencil ini mungkin dianggap sebagai agak remeh, saya sebagai ‘tuan rumah’ berasa cukup kesal dan memahami perasaan sedih dialami oleh semua guru yang terlibat,” jelas Aznan lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima lima laporan kes itu yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat.

“Siasatan awal mendapati kawasan itu tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal keselamatan hanya berada di dalam perkarangan sekolah berkenaan ketika kejadian tersebut berlaku.
“Kami tidak menolak kemungkinan ia angkara budak nakal atau pihak yang tidak berpuas hati kerana gangguan lalu lintas. Semua kereta itu mungkin dicalarkan dengan menggunakan senjata tajam,” jelas Shafien.

“Sebahagian kereta terpaksa diletak di luar kerana parkir dalam sekolah tidak cukup,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini semalam. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA



EmoticonEmoticon

Google+ Followers