Tuesday, 28 June 2016

Tips penjagaan suara khusus untuk guru-guru

Pengenalan

Suara merupakan kunci utama yang diperlukan dalam profesyen perguruan di seluruh dunia. Hal ini disebabkan suara sangat diperlukan dalam sesi pembelajaran di dalam kelas, memberi arahan, mengekalkan disiplin dan memberi sokongan kepada pelajar-pelajar di dalam kelas atau di sekolah.

Persekitaran sekolah yang bising serta tahap pengetahuan dalam penggunaan dan penjagaan suara yang rendah menjadikan profesyen perguruan adalah profesyen yang berisiko tinggi mengalami masalah suara.
jobs from my.neuvoo.com
Apa itu Masalah Suara?

Suara dikatakan bermasalah apabila kualiti suara dari aspek kelangsingan suara dan kekuatan suara berubah dari suara kebiasaan sebelum ini. Suara dikategorikan bermasalah apabila penutur melaporkan ketidakselesaan atau sakit ketika menyanyi atau bercakap (ASHA, 2004).

Roy, Merrill, Thibeault, Parsa, Gray, Smith, (2004), mendefinisikan masalah suara apabila suara tidak dapat berfungsi, atau suara yang keluar adalah suara yang tidak sepatutnya dan seterusnya mengganggu komunikasi individu tersebut. Walaubagaimanapun, definisi suara normal dan suara tidak normal adalah bergantung kepada orientasi seseorang dalam membuat penilaian masalah suara individu lain.

Masalah suara sering dilaporkan dalam kalangan guru berbanding profesyen lain. Masalah suara ini banyak mengganggu guru-guru perempuan berbanding guru-guru lelaki. Mereka melaporkan bahawa mereka sering menghadapi masalah suara sewaktu menjalani karier sebagai guru (Kooijman et al., 2007) dan 52% pelajar-pelajar perguruan mempunyai masalah suara ketika tahun akademik (Miller & Sloane, 2002).
Gambar: Penilaian Pita Suara oleh doktor ENT menggunakan Skop Feksible
Sumber: Unit Terapi Pertuturan, Hospital Kuala Lumpur
Kenapa guru sering menghadapi masalah Suara?


  1. Penggunaan suara yang berlebihan
  2. Kurang masa pemulihan suara
  3. Terdedah dengan habuk dan persekitaran berdebu
  4. Keperluan menggunakan suara yang kuat sewaktu mengajar
  5. Persekitaran kelas yang kurang akustikal
  6. Persekitaran bising di dalam dan di luar kelas
  7. Kekurangan latihan penggunaan suara yang betul
  8. Tekanan/ penat/ kurang rehat
  9. Kegagalan mengenalpasti simptom-simptom penyalahgunaan suara
  10. Kekurangan ilmu/pengetahuan atau kesedaran penggunaan serta penjagaan suara
  11. Ketiadaan pencegahan penjagaan suara

Simptom-simptom Awal Kepenatan Suara

  1. Kerap penat bila banyak bercakap
  2. Sakit tekak yang kerap seperti rasa perit dan tidak selesa
  3. Rasa tekanan atau sempit pada bahagian tekak apabila bercakap
  4. Suara serak/ pecah/ kasar/ garau
  5. Perlu bekerja keras untuk menghasilkan suara (effortful voice)
  6. Rasa tidak selesa bila bercakap
  7. Pengurangan julat kelangsingan dan fleksibiliti suara
  8. Sukar melontarkan suara kuat
  9. Sukar mengawal kualiti suara
  10. Simptom bertambah apabila kerap bercakap dalam sehari/ seminggu
  11. Suara kembali baik apabila mendapat rehat yang panjang


Apabila kepenatan suara berlaku dengan peningkatan frekuensi suara, ini akan menyebabkan seseorang individu mula memaksa otot-otot di sekitar leher bekerja dengan lebih keras bagi memaksa menghasilkan getaran pada pita suara untuk memastikan suara yang dihasilkan adalah jelas.

Keadaan yang berterusan akan menyebabkan berlakunya masalah suara yang lebih teruk di kalangan guru-guru.

Bagaimana menjaga suara?

1. Bercakap dengan menggunakan postur badan dan sokongan pernafasan yang betul

2. Buat latihan memanaskan suara sebelum sesi mengajar bermula

3. Jangan bercakap dalam persekitaran yang bising. Bercakap dengan pelajar apabila kelas kembali senyap

4. Kurangkan menjerit di dalam kelas. Dapatkan perhatian pelajar-pelajar di dalam kelas dengan membunyikan loceng, menepuk tangan atau menepuk meja sebelum memberi arahan

5. Suara sering berkait rapat dengan emosi. Tekanan / kemurungan boleh mempengaruhi kualiti suara

6. Pengambilan air yang kerap. Sekurang-kurangnya 6-8 gelas sehari/ 2 liter sehari. Digalakkan minum sewaktu sesi mengajar kerana guru terdedah dengan habuk di dalam kelas

7. Guru perlu bergerak ke tengah kelas ketika mengajar agar pelajar di bahagian belakang dapat mendengar suara guru tanpa perlu menjerit kuat.

8. Bercakap dengan jelas menggunakan kadar pertuturan yang perlahan agar arahan tidak perlu diulangi

9. Jika suara serak, jangan berbisik.

10. Jika suara serak, kurangkan bercakap atau menyanyi. Rehatkan suara sekurang-kurangnya 15 minit di antara sesi mengajar.

11. Gunakan alat bantuan suara (voice amplifier).

12. Jika suara serak berterusan sila dapatkan nasihat doktor/ Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) yang bertauliah

Rujukan

Roy, N., Merrill, R. M., Thibeault, S., Parsa, R. a, Gray, S. D. & Smith, E. M. 2004. Prevalence of voice disorders in teachers and the general population. Journal of speech, language, and hearing research?: JSLHR, 47(2), 281–93. doi:10.1044/1092-4388(2004/023)

Kooijman, P.G.C., Thomas, G., Graamans, K. & de Jong F.I.C.R.S 2007. Psychosocial impact of the teacher’s voice throughout the career. Journal of Voice 21 (3): 316-324

Sapir, S. & Keidar, A. 1993. Vocal attrition in teachers: Survey finding. European Journal of Disorders of Communication 28 (2): 177-185

Sala, E., Laine, A., Simberg, S., Pentti, J. & Suonpää, J. 2001. The Prevalence of Voice Disorders Among day care Center Teachers Compared with Nurses: A Questionnaire and Clinical Study. Journal of Voice 15(33): 413-423

Trial, R. C., Gray, S. D., Dove, H., Corbin-lewis, K. & Stemple, J. C. 2001. An Evaluation of the Effects of Two Treatment Approaches for Teachers With Voice Disorders?: A Prospective (April), 286–296.

Russell, A., Oates, J., Greenwood, K.M. 1998. Prevalence of Voice Problems in Teachers. Journal of Voice 12(4): 467-479

Thomas, G., Kooijman, P.G.C., Cremers, C.W.R.J., & de Jong, F.I.C.R.S. 2006. A comparative study of voice complaints and risk factors for voice complaints in female student teachers and practicing teachers early in their career. Eur Arch Otorhinolaryngol 263: 370-380

http://www.voicecareaustralia.com.au

www.voicecareforteachers.com

Semakan Akhir : 06 Mac 2014
Penulis : Rosmah Suriani bt Mohd Raini

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia


EmoticonEmoticon

Google+ Followers