Tuesday, 7 June 2016

Terasa Beban Jadi Guru? Elok Berenti Sahajalah...

RASA terbeban sebagai guru? Jika tak sanggup 'bebanan' diberikan elok lepaskan saja tanggungjawab itu kepada mereka dapat melaksanakannya penuh ikhlas dan amanah.

Manakan tidak, selain mengajar, tugas guru juga sebagai 'ibu dan ayah, kerani, tukang kebun, tukang sapu, jururawat, doktor, tukang rumah, jurulatih, pegawai kebajikan, pemandu, wakil kerani bank, wakil jual buku, polis, jaga, juruteknik, runner, juru audit, pegawai kewangan, imam' dan dan banyak lagi.

Walaupun tugas-tugas tambahan itu bermusim, namun jika dibandingkan dengan penjawat awam atau swasta lain, mungkin sukar hendak melihat mereka melakukan kerja sedemikian.

Misalnya pada musim cuti sekolah, bukan semua guru juga dapat bercuti sepenuhnya. Ada perlu bertugas untuk mengadakan kelas tambahan di sekolah, aktiviti luar dan sebagainya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Pendidikan Kebangsaan (NUTP), Datuk Lok Yim Pheng berkata, biarpun pada cuti sekolah, guru tetap boleh dipanggil bertugas.

"Namun bertugas semasa dalam cuti sekolah itu, bukanlah melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Itu pun bukan melibatkan semua masa cuti. Ada syarat dan peraturannya supaya guru juga mendapat rehat yang cukup.

"Apa pun waktu cuti mereka juga boleh diisi dengan melakukan persediaan mengajar, menandai buku, kertas soalan, persediaan penggal akan datang, perancangan alat bantu mengajar dan sebagainya," katanya.

Yim Pheng berkata, waktu bercuti guru juga boleh diisi oleh golongan tersebut untuk pulang ke kampung, mahupun menambah ilmu yang boleh memberi faedah kepada diri dan pelajar mereka.

Menurutnya, semua sektor juga mempunyai beban kerja sendiri, begitu juga sedikit perbezaan bagi mereka dalam bidang perguruan.

Bekerja sebagai penjawat awam, swasta hatta bekerja sendiri sekalipun tak perlulah kita hendak berdebat, menghentam dan bergaduh tentang beban tugas atau apa jua isu tugas guru.

Kita sepatutnya saling menghormati, apalagi kepada golongan pendidik. Kita pandai pun disebabkan adanya guru. Janganlah memperkecilkan peranan golongan ini.

Apalagi jika beragama Islam, kita seharusnya meletakkan apa jua amanah dianugerahkan ALLAH sebagai entiti utama dalam kehidupan seharian kita.

Jangan melatah


Hari ini kita ditakdirkan menjadi seorang penternak, petani, nelayan, peguam, arkitek, guru, kerani, pegawai daerah, doktor, ahli politik dan sebagainya.

Jika kita lebih mengingatkan amanah ALLAH yang dipikul di bahu, maka kita tidak akan mengeluh dengan apa kita peroleh, sebaliknya lebih mensyukuri rezeki ALLAH kurniakan.

Tidak dinafikan, kadang-kadang beban tugas dihadapi guru membuatkan mereka bingung, melatah dan mungkin merungut. Namun guru tetap guru. Walau apa pun keadaan, guru yang baik tetap akan mendidik anak muridnya dengan ikhlas.

Seorang guru bukanlah pakar psikologi. Hanya berbekalkan ilmu dan pengalaman mereka berhadapan dengan pelajar, guru-guru berupaya menangani masalah pelajar dan kerjayanya.

Namun kadang-kadang tersasar juga. Kita pun jangan turut melatah terus mengata guru yang bukan-bukan.

Lalu menuduh guru itu tidak layak menjadi guru. Lebih-lebih lagi menceritakan keburukan guru di hadapan anak-anak. Ini akan menjadikan anak-anak tidak menghormati guru. Jadi, di mana letaknya keberkatan ilmu yang anak-anak kita peroleh selama ini.

Tidak kira siapa dan apa pun profesion kita, tunaikanlah amanah ALLAH sebaik mungkin. Sama-samalah kita menjaga tugas masing-masing dan selalu mencari kebaikan.

Sumber
jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers