Wednesday, 22 June 2016

Demonstrasi kaedah terbaik pendidikan seks prasekolah - Pensyarah

Kaedah demonstrasi adalah antara silibus yang wajib ada sekiranya pendidikan seks kepada kanak-kanak prasekolah dilaksanakan, menurut ahli akademik.

Pensyarah undang-undang keluarga, wanita dan kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal berkata kaedah itu lebih sesuai dan mudah untuk memberi penerangan kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun dan tidak hanya bergantung kepada buku dan gambar sahaja.

“Seperti contoh, dalam proses pembelajaran diadakan demonstrasi seperti 'no skin to skin' antara kanak-kanak lelaki dan perempuan, serta anggota tubuh lain yang tidak boleh dilihat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
jobs from my.neuvoo.com
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini berkata kerajaan bercadang memperkenalkan subjek pendidikan seks kepada kanak-kanak prasekolah untuk meningkatkan pengetahuan mereka.

Katanya, kementerian akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan seperti pakar kanak-kanak tentang kaedah pelaksanaan yang sesuai.

Tambah Noor Aziah, selain ibu bapa, setiap proses pembelajaran juga perlu melibatkan pihak lain seperti anggota polis yang dijemput untuk memberi penerangan supaya kanak-kanak tahu kepada pihak mana untuk meminta pertolongan sekiranya perlu.

Beliau turut mencadangkan supaya prasekolah di negara ini dilengkapi dengan guru kaunseling bagi memudahkan kanak-kanak untuk bercerita dan sekaligus meletakkan keyakinan mereka kepada guru-guru.

Senada dengan Noor Aziah, pengetua Tadika Indah Murni Athfal Wangsa Maju, Aliza Harun Rasheed berpendapat kaedah demonstrasi lebih efektif kepada kanak-kanak.

Turut mengaplikasi kaedah sama di tadikanya, beliau berkata melalui penelitiannya, kanak-kanak lebih cepat “tangkap” apa yang cuba disampaikan berbanding jika ia diterangkan secara bercerita.

“Dalam seharian kami akan mengaplikasikan ilmu yang diajar seperti contoh jika pada hari tersebut kanak-kanak diajar tentang aurat, maka bila sampai waktu solat mereka akan diterangkan secara tutorial batas-batas aurat ketika mengambil wuduk,” katanya.

Sementara itu, Rozita Yusuf, 34, berharap pendidikan seks dapat dilaksanakan di prasekolah dengan segera bagi melatih anak-anak supaya lebih peka dengan keadaan sekitar.

“Banyak cerita yang menakutkan tentang pedofilia masa kini dan sebagai ibu seharusnya saya mahu anak saya tahu dan faham batas-batas pergaulan meskipun baru berumur lima tahun,” katanya, yang mempunyai seorang anak perempuan berumur lima tahun. — Bernama

The Malaymail Online


EmoticonEmoticon

Google+ Followers