Tuesday, 31 May 2016

TMJ: Sistem pendidikan lemah, mudah kawal orang bodoh

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata seorang individu pernah memberitahu kepadanya taraf pelajaran di negara ini tidak boleh dipertingkatkan bagi memudahkan proses meraih undi dan mengawal pemikiran orang bodoh.

“Saya pernah mempersoalkan kepada seseorang individu (tidak menyebut nama individu tersebut) kenapa kita tidak boleh meningkatkan lagi taraf pelajaran, beliau menyatakan kepada saya kerana ada dua fakta.

“Fakta pertama untuk mendapatkan undi dan kedua adalah lebih mudah untuk mengawal pemikiran orang yang bodoh dan tanpa berpelajaran,” katanya dalam satu wawancara yang dimuat naik di Facebook Johor Southern Tigers.

Sehubungan itu, katanya pendidikan amat ditekankan kepada rakyat Johor supaya mereka tidak mudah dipermainkan oleh sistem yang memutarbelitkan perkara sebenar.

“Itulah sebabnya saya lebih memberi keutamaan kepada rakyat Johor dalam hal pelajaran kerana saya tidak mahu rakyat saya mudah dipermainkan oleh sistem yang memutarbelitkan perkara sebenar serta mengalih perhatian isu besar daripada rakyat,” katanya.

Tunku Ismail atau mesra digelar TMJ berkata terdapat laman di media sosial diupah sesetengah organisasi yang mempunyai kuasa supaya melaga-lagakan rakyat bagi mengalihkan perhatian daripada isu lebih besar dalam negara.

Katanya, tindakan itu membolehkan orang dan organisasi tertentu melaksanakan misi mereka tanpa disedari.

“Rakyat kena pandai menilai sendiri. Saya bertuah dengan kedudukan saya ini, saya dapat melihat dan mendengar dengan mata dan telinga saya sendiri tentang apa yang dirancang orang besar dan organisasi yang tidak akan dapat diketahui rakyat di luar sana,” katanya.

Sumber: FMT
jobs from my.neuvoo.com


EmoticonEmoticon

Google+ Followers