Thursday, 26 May 2016

Saya ‘bergurau saja’ suruh guru latih tepuk tangan, kata MB Terengganu

Ahmad Razif Abdul Rahman tidak menyangka “gurauannya” tentang sikap guru yang tidak suka bertepuk tangan menjadi satu arahan kepada sekolah sehingga beliau dikecam. — Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 26 Mei — Arahan meminta guru-guru mengadakan latihan tepuk tangan seperti diperkatakan di Internet hanyalah “satu gurauan”, kata menteri besar Terengganu.

Ahmad Razif Abdul Rahman berkata perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana guru-guru di negeri itu sudah dianggap beliau bagai rakan sendiri.

“Tidak payah panjangkan [isu ini] kerana saya bergurau sahaja kepada guru-guru,” katanya dalam satu mesej ringkas kepada ProjekMMO malam tadi.

“Ini kerana mereka adalah rakan-rakan saya. Tidak tahu pula jadi macam ini,” katanya, yang pernah bertugas sebagai guru dan pensyarah institut perguruan.

Sejak petang semalam tersebar di media sosial yang mendakwa guru-guru di Terengganu telah diarah mengadakan latihan tepuk tangan selama lima minit.

Ia turut mendakwa pihak sekolah harus mengemukakan bukti bergambar latihan telah dijalankan.

Menurut salinan mesej WhatsApp yang tersebar, isu ini dikatakan bermula daripada gesaan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) yang mendapat aduan menteri besar tentang guru-guru yang tidak bertepuk tangan di satu majlis yang dihadiri beliau.

Susulan itu, muncul arahan tidak rasmi daripada jabatan itu agar sekolah melatih guru-guru bertepuk tangan selama lima minit, termasuk sewaktu perhimpunan mingguan.
Selain itu, tersebar pula video di Facebook dan YouTube yang menunjukkan sekumpulan besar guru dan murid di sekolah rendah di Kuala Terengganu sedang bertepuk tangan. Latihan ini dikatakan berlaku semalam.

Kesahihan maklumat di media-media sosial tersebut, setakat ini, tidak dapat disahkan.

Butiran acara yang dihadiri menteri besar juga masih kabur. Namun ia dipercayai pada sambutan Hari Guru peringkat negeri ke-45 yang diadakan Selasa lalu di Kuala Nerus.

ProjekMMO sedang mendapatkan reaksi pihak JPNT berhubung kandungan WhatsApp tersebut seperti didakwa.

Ketika ditanya sama ada menjadi kelaziman guru-guru di negeri itu tidak bertepuk tangan, Ahmad Razif berkata ia bukanlah budaya.

Tambahnya, insiden tidak bertepuk tangan mungkin berlaku kerana kebanyakan guru di majlis Hari Guru tahun ini belum pernah menghadirinya.

“Saya dimaklumkan kebanyakan yang dijemput hari itu adalah yang belum pernah hadir dalam majlis Hari Guru sebelum ini,” katanya. “Mungkin mereka amat teruja dengan majlis tersebut.”

Ahmad Razif tidak mengulas apabila ditanya sama ada latihan kepada guru-guru itu, yang didakwa di media sosial sebagai “hukuman”, akan dihentikan.

Malaymailonline


EmoticonEmoticon

Google+ Followers