Saturday, 28 May 2016

PIBG Resah Guru Besar Galak Murid Minum Air Jampi Di Sekolah


PELABUHAN KLANG: Tindakan guru besar sebuah sekolah rendah menggalakkan muridnya meminum air jampi yang kononnya mampu menjadikan seseorang lebih cerdik sejak lebih tiga tahun lalu mendatangkan kebimbangan di kalangan ibu bapa murid sekolah di Pandamaran, di sini.

Ibu bapa terbabit menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kemudian membuat aduan di Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Klang supaya tindakan selanjutnya dapat diambil berikutan keengganan guru besar terbabit untuk menghentikan kegiatannya itu.

Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Klang Datuk Tan Bok Koon berkata, pihaknya menerima aduan pihak PIBG dan juga ibu bapa murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) itu sejak beberapa bulan lalu.

“Kami kemudian menjalankan siasatan dan mendapati terdapat kejadian seperti didakwa dan ‘air jampi’ itu diedarkan secara percuma kepada murid.

“Mereka (pihak sekolah) juga menggunakan air berkenaan untuk direnjis di kawasan sekolah terbabit kononnya untuk menaikkan tahap kecerdikan murid di sekolah itu. Semua ini karut,” katanya di sini, semalam.

Tan berkata, perbuatan guru besar terbabit turut dilihat bertujuan untuk mempengaruhi kanak-kanak di sekolah terbabit untuk mengenali agama dianutinya yang didakwa baru bertapak di negara jiran.

“Perbuatan ini adalah salah dari etika perguruan kerana terang-terangan memberikan persepsi yang salah terhadap murid dan dikhuatiri akan menyebabkan kanak-kanak itu menganggap mereka boleh menjadi pandai hanya dengan minum air berkenaan.

“Guru besar terbabit juga langsung tidak mendapat persetujuan daripada jawatankuasa serta PIBG itu, dan dia juga tidak menghiraukan larangan dari ibu bapa terhadap aktiviti karutnya itu, jadi perkara ini akan saya panjangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya tindakan dapat diambil,” katanya lagi.

Tambahnya, tugas guru adalah mendidik anak murid dengan menggunakan sistem pendidikan sedia ada, bukannya mengambil jalan mudah meminum air jampi dengan menggunakan nama agama.

- Harian Metro


EmoticonEmoticon

Google+ Followers