Wednesday, 11 May 2016

Kisah Murid Orang Asli: "Kami tak mahu dicaci lagi"

“SAYA dihina. Mereka kata keturunan saya busuk. Orang Asli tak mandi. Mereka cakap kaum saya sampai bila-bila akan terus hidup miskin.

“Tak cukup dengan itu, mereka juga kata saya tak punya masa depan.”

Dia memang rasa rendah diri bila dihina sedemikian. Namun ia tidak jadi penghalang. Semuanya dilawan dengan tekad untuk buktikan anak Orang Asli juga boleh berjaya.

Itulah Aiba Tok, pelajar cemerlang Orang Asli terbaik Malaysia. Dia mendapat 6A 1C dalam SPM 2015, yang diumumkan awal Mac lalu membuktikan anak bangsanya tidak boleh diperlekeh dan dihina.

“Selama ini ramai yang pandang rendah pada kami. Walau pada awalnya saya rasa rendah diri, tapi saya juga jadikan celaan itu sebagai pembakar semangat untuk pastikan masyarakat kami tidak dihina lagi,” katanya.

Aiba diundang khas untuk sesi wawancara dengan kami bagi Program Kadet Wartawan bersama Sinar Harian dan GPSBestari.com di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Kudin, Raub, Pahang baru-baru ini.

“Saya mahu mengubah nasib anak bangsa saya,” kata Aiba penuh semangat.

Lahir dalam keluarga yang besar, Aiba berkata ia bukan halangan untuk mencapai kejayaan. Anak bekas polis yang pernah berkhidmat di Pengkalan Hulu, Perak ini memulakan perjalanannya dalam ranjau menimba ilmu apabila menuntut di Sekolah Kebangsaan Satak seawal bangku persekolahan.

Meskipun hanya mampu mendapat 1A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Aiba percaya siapa yang terus jatuh apabila gagal, tidak akan mencium bau indah kejayaan. Dengan semangat inilah dia berusaha untuk terus melonjakkan diri dalam pelajaran.

Meningkat ke usia belasan tahun, dia meneruskan perjalanan menggapai hasrat murninya ke alam remaja apabila menuntut di SMK Tengku Kudin, Raub. Kata Aiba, sudah menjadi lumrah kehidupan ‘lain rumput lainlah belalangnya.’

Pada mulanya Aiba berasa rendah diri dan disisihkan dek kerana perbezaan latar belakang dan kaum. Baginya, cacian dan makian seperti dikatakan Orang Asli ini miskin, busuk dan tidak mempunyai masa depan sudah sebati dengannya, ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Aiba berpendapat, sebagai seorang daripada kaumnya yang mempunyai pendidikan lebih daripada yang lain, dia perlu memanfaatkan kelebihan itu sebaik mungkin bagi menggapai hasratnya. Dia mahu mengubah nasib anak bangsanya yang boleh dikatakan kurang mendapat pendidikan baik serta mundur agar generasi selepasnya akan lebih berjaya daripada dirinya sendiri.

Berhasrat melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tengku Ampuan Afzan di Kuala Lipis, Aiba sudah mempunyai wawasan hebat pada usia muda.

“Saya nak bina sebuah sekolah percuma untuk pelajar Orang Asli yang miskin dan tidak berkemampuan. Dengan pelajaran saya boleh bantu mereka mengubah hidup. Tidak lagi hidup miskin. Tidak lagi dihina masyarakat luar,” katanya.

Menurut Aiba, kejayaan yang dicapainya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan suatu perkara yang mustahil bagi bangsanya. Semuanya terpulang atas usaha dan kesungguhan masing-masing dalam mengecap impian dan juga kejayaan.

“Ibu bapa adalah kunci kejayaan saya. Mereka tidak pernah mengongkong, malah sentiasa sokong 100 peratus apa saja yang saya buat termasuk cita-cita saya yang ingin jadi guru Bahasa Melayu,” kata Aiba.

Malah dalam mencapai keputusan cemerlang, Aiba sentiasa menguruskan masanya dengan baik agar tidak mencacatkan rutin sehariannya.

“Saya akan bangun jam 6 pagi setiap hari dan tidak meninggalkan sarapan supaya tidak mudah lapar kerana ia boleh mengganggu proses pembelajaran.

“Pulang sahaja dari sekolah pula, saya akan mandi dan terus mengulang kaji pelajaran supaya lebih segar dan apa-apa yang diulang kajinya mudah masuk,” kata Aiba sambil memberitahu ini adalah rutin hariannya.

Pada waktu petang pula Aiba akan beriadah bagi merehatkan minda dan mencergaskan tubuh badan.

“Pada sebelah malam, saya akan mengulang kaji pelajaran bermula jam 8 malam kemudian tidur pada jam 1 pagi,” katanya.

Begitulah perjalanan seharian Aiba dalam melewati kehidupan di asrama sehingga berjaya mendapat keputusan SPM yang sangat membanggakan.

Aiba juga sempat berkongsi dengan kami bahawa beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah juga dalam kokurikulum.

“Ketika di tingkatan satu, saya dipilih mewakili Pahang ke Pertandingan Penyelidikan dan Penyiasatan Sains dan Teknologi di Sarawak,” katanya.

Apabila ditanya tentang pemilihannya sebagai wakil, dia melahirkan rasa bangga kerana apabila sampai di sana dia merupakan satu-satunya pelajar Orang Asli. Baginya, dia telah berjaya menapak setapak ke hadapan dalam meneruskan hasratnya.

Malah Aiba juga berasa sangat terharu kerana diberi kepercayaan oleh kalangan guru di SMK Tengku Kudin untuk mewakili Pahang meskipun baru di tingkatan satu pada ketika itu.

Begitulah rentetan kehidupan Aiba yang berjiwa besar dalam usaha untuk memajukan bangsanya sendiri. Kata Aiba lagi, ramai mencaci kaumnya kerana dikatakan tidak mempunyai pegangan, namun itu semua bukanlah suatu penghalang buatnya.

Bagi Aiba, dia akan terus menjadikan cacian itu sebagai semangat untuk membangunkan anak bangsa dan bukan yang menjatuhkannya.

Sinar Harian


EmoticonEmoticon

Google+ Followers