Thursday, 12 May 2016

"Cikgu, saya malu nak ke sekolah kerana tak ada hadiah untuk Hari Guru..."

Gambar hiasan
Kenangan dua tahun lepas kini menjelma kembali. Suatu pagi, seorang imam masjid yang saya kenali menghubungi saya.

Katanya ada seorang budak sekolah berada di masjid, lagaknya seperti dia ponteng sekolah.

Hari itu Hari Guru. Tanggal 16 Mei, pelajar dan guru tidak berada dalam kelas, sebaliknya sibuk berada di dewan dan padang dengan aktiviti sambutan.

Saya bergegas sendiri ke masjid yang disebutkan. Tapak parkir kereta agak jauh di penjuru masjid.

Setiba di sana, saya mula meninjau-ninjau di kawasan masjid.

Tidak ada di balai lintang, saya menjengah ke dewan solat namun budak yang dimaksudkan tiada. Tetapi ketika beralih ke bahagian Muslimat, saya ternampak satu susuk tubuh.

Saya segera ke bahagian itu dan memang ada seorang pelajar perempuan.

Dia begitu terkejut melihat saya. Bibirnya terketar-ketar mengucap salam pada saya sambil tangannya meraup sejadah lalu dipeluk ke tubuh, bagai seorang anak takutkan bapa yang garang.

Dia segera berdiri menghormati saya, tetapi saya suruh duduk. Saya kenal pelajar ini kerana pernah naik ke pentas menerima hadiah kecemerlangan di sekolah.

Saat ditanya sebab apa ponteng sekolah sedangkan dia pelajar yang baik, dia hanya berkata, "Tak ada apa cikgu.”

Saya tidak puas hati kerana ini bukan tabiatnya. Saya desak dia agar bercakap benar.

Matanya mula berair apabila dia memulakan bicara lagi. Saya tahu, dia akan berkata benar. "Cikgu, saya malu nak ke sekolah hari ini kerana saya tidak ada hadiah untuk diberi pada guru sempena hari guru.

Ayah tak ada duit untuk beli hadiah kerana waktu ini tengah bulan. Ayah saya kerja pengawal keselamatan, emak pula telah meninggal." Dia memberhentikan bicaranya. Sedu-sedan jelas kedengaran. Matanya tidak lagi dapat menakung air mata yang berjuraian.

Dia menyambung, "Cikgu, saya malu ditanya rakan apa hadiah yang dibawa pada cikgu. Lebih malu bila ada bertanya, Nurul tak bawa hadiah ke?”

Ini telah berlaku tahun lalu. Air matanya yang deras mengalir dikesat dengan kain tudung yang sudah separuh lusuh.

Saya pula yang turut sedih ketika itu tidak terucap kata.

Saya menghantarnya pulang ke rumah, dalam perjalanan fikiran berkecamuk.

Rupanya kegembiraan hari guru dan sambutannya telah mencederakan hati seorang insan pelajar, bahkan saya yakin lebih ramai lagi pelajar yang miskin merasa gundah resah apabila tibanya Hari Guru.

Menjadi kelaziman Hari Guru 16 Mei disambut oleh pelajar dengan memberi hadiah kepada guru di samping program sekolah.

Memanglah ia sesuatu yang baik. Tetapi, banyak ibu bapa yang miskin, yang kurang mampu, menghadapi situasi serba-salah apabila anak merengek minta dibeli hadiah dan tidak mahu atau barangkali berasa malu ke sekolah tanpa membawa hadiah untuk guru-guru mereka.

Pelajar daripada keluarga yang berada meminta dibelikan yang hadiah lebih baik untuk mengatasi rakan, siapa menghadiahkan guru hadiah paling mahal. Anak yang telah besar di sekolah menengah mungkin tidak mendesak, tetapi memilih jalan lain untuk mengelak, memendam rasa, tetapi siapa yang peduli...

Maka adalah lebih baik jika hadiah kepada guru tidaklah diberi penekanan, kerana ia juga boleh disalahgunakan untuk meraih perhatian guru, dan jika dibuat biarlah secara tertutup. Bukannya di dalam kelas yang menyebabkan pelajar lain terasa. Maksudnya, hadiah pada guru biarlah diserah oleh pelajar sendiri di bilik guru.

Bagi sekolah yang di luar bandar yang ibu bapanya berpendapatan rendah, maka perkara ini lebih lagilah perlu diberi perhatian.

Hakikatnya, pelajar yang baik bukan memberi hadiah kepada gurunya, tetapi memberi khidmat kepada gurunya, bekerjasama dan patuh pada semua arahan.

Hari guru sebaik-baiknya disambut dengan menzahirkan rasa syukur kepada Allah, bukan dizahirkan dengan bersuka ria. Mungkin sukan atau sukaneka itu baik untuk menjalin hubungan, tetapi mungkin aktiviti seperti guru dan murid menyanyi dan menari di atas pentas digantikan dengan sketsa yang lebih bersifat mendidik.

Majlis seperti tahlil, bacaan Yasin, solat hajat dan sujud syukur, kenduri satu sekolah, ataupun ‘explorace’ yang bersifat pelajaran dan sebagainya lebih sesuai.

Guru harus bersyukur kerana mempunyai pekerjaan dan ada murid. Manakala murid perlu bersyukur kerana ada guru yang mendidik. Sementara ibu bapa harus bersyukur kerana ada yang mengambil tanggungjawab dalam tugas mendidik anak-anak.

Marilah kita berubah apabila menyambut sesuatu perayaan daripada berseronok dan terarah kepada penzahiran rasa syukur kepada Tuhan.

Kepada ibu bapa, mintalah anak menghadiahkan hari guru dengan janji untuk menjadi pelajar yang baik, taat, gigih, dan berdisiplin. Itu lebih besar maknanya kepada seorang guru daripada sekotak hadiah.

Daripada kisah yang dipaparkan, usah kita melihat sesuatu dari satu sudut sahaja, daripada situasi dan pandangan kita sahaja, tetapi berfikirlah dari pelbagai sudut daripada pelbagai situasi.

Baik pada kita, mungkin mencederakan hati orang lain. Selalulah berfikir supaya kita tidak menyusahkan orang lain, sebaliknya selalulah berusaha untuk menggembirakan orang lain. Kelak di akhirat Allah akan gembirakan kita.

Sumber: GPS Bestari


EmoticonEmoticon

Google+ Followers