Wednesday, 27 April 2016

Warga pendidik dinasihati tidak terlalu kejar KPI

KUALA LUMPUR - Golongan pendidik di negara ini dinasihatkan agar tidak terlalu mengejar sasaran indeks petunjuk prestasi (KPI) dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) sehingga lari daripada objektif sebenar tugasan mereka.

Presiden Pertubuhan Universiti Antarabangsa (IAU), Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, KPI hanya merupakan satu sistem yang diwujudkan sebagai tanda aras kepada hasil sesi PDP yang dilakukan oleh seseorang tenaga pengajar terhadap pelajarnya.

Beliau berkata, perkara itu (KPI) tidak boleh dijadikan matlamat utama oleh seorang pengajar kerana hasil yang diberikan dalam sesi pembelajaran dan pemahaman pelajar terhadap sesuatu perkara yang dipelajarinya adalah lebih penting.

"Saya khuatir sekiranya sikap terlalu mengejar KPI ini menjadi budaya kerja, ia akan mendorong tenaga pengajar melakukan penipuan dengan membantu pelajar mereka lulus di dalam peperiksaan hanya kerana mahu mendapatkan rekod peribadi cemerlang di dalam jabatan atau institut masing-masing.
"Perkara itu kelak dikhuatiri menjadi liabiliti besar dalam sistem pendidikan negara sehingga berpotensi menggangu kualiti PDP seterusnya menyebabkan objektif pembelajaran di mana-mana institut pengajian tidak tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Touronkai edisi keempat bertemakan Pendidikan Abad ke-21: Melangkaui Sempadan anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, di sini hari ini.

Touronkai atau dalam bahasa Jepun bermaksud syarahan intelektual. Program selama dua hari bermula hari ini yang berbentuk perbincangan dan perdebatan itu berjaya menarik penyertaan lebih 900 peserta dari 16 negara termasuk Azerbaijan, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Vietnam melibatkan golongan guru, pensyarah dan pelajar institut pengajian tinggi.

Touronkai kali ini memberi fokus kepada bidang penerokaan ilmu berkaitan pendidikan dan keperluan semasa selaras hasrat serta aspirasi kejaraan melalui Program Transformasi Pendidikan Negara.

Dzulkifli yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Tadbir Urus Universiti Sains Islam Malaysia berkata, KPI mempunyai kebaikan tersendiri sekiranya warga pendidik dapat menggunakannya sebagai galakan untuk meningkatkan kualiti dalam perkhidmatan mereka.

"Jika kualiti pendidikan itu ditambah baik, semestinya prestasi yang dicatatkan kelak akan menunjukkan peningkatan tanpa perlu menggadaikan kepentingan dan hak pelajar untuk mendapat pembelajaran terbaik semata-mata kerana terkejarkan KPI.

"Harus diingat, tiada gunanya kita mengejar KPI jika pada realitinya apa yang dipelajari oleh anak murid tidak mencapai tahap seperti yang tercatat di dalam kertas," katanya. - Bernama

3 comments

Cuba bagi tahu kepada nazir, jpn dan Ppd...
Pendidik bukan sewenang-wenangnya nak kejar kpi... Mereka dipaksa. ..

Cuba bagi tahu kepada nazir, jpn dan Ppd...
Pendidik bukan sewenang-wenangnya nak kejar kpi... Mereka dipaksa. ..

Laaa...KPI tu kan dari pihak atasan. Bkn cikgu2 yg tetapkan.


EmoticonEmoticon

Google+ Followers