Tuesday, 12 April 2016

Syarat Wajib Lulus BI Dalam SPM Akan Dibincangkan Semula

P. KAMALANATHAN menyerahkan sijil Anugerah Tokoh Danajamin100 kepada Anis Diana Anuar dalam Majlis Graduasi Program Kepimpinan Pelajar Danajamin100 di Bangsar, Kuala Lumpur, semalam. Utusan/Suriya Bonma
KUALA LUMPUR 11 April - Kementerian Pendidikan akan mengadakan mesyuarat kedua bagi membincangkan hala tuju pelaksanaan syarat lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Menterinya, Datuk P. Kamalanathan berkata, mesyuarat pertama mengenai perkara itu telah dibuat pada tahun lalu manakala mesyuarat kedua akan diadakan dalam masa terdekat.

“Pada mesyuarat pertama sebelum ini, keputusan untuk me­laksanakan syarat wajib ini masih tidak terjawab. Mesyuarat susulan ini juga akan melibatkan pihak berkaitan yang pernah bersama dalam perbincangan mesyuarat pertama.

“Kementerian terpaksa menangguhkan pelaksanaan syarat wajib ini pada bulan Ogos tahun lalu ke­rana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, sepatutnya pelaksanaan syarat wajib ini dilaksanakan pada tahun ini,” katanya selepas menghadiri majlis Graduasi Pelajar Danajamin100 di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 30 orang daripada kumpulan perintis yang terdiri pelajar tingkatan empat dari sekolah pintar sekitar Selangor dan Negeri Sembilan diraikan serta menerima sijil penghargaan dan sumbangan RM1,500 dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) selepas menamatkan program kepemimpinan selama tiga tahun.

Danajamin100 merupakan satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) utama syarikat Danajamin Nasional Berhad untuk memperkasakan nilai kepimpinan pelajar yang telah dipilih.

Kumpulan kedua program Danajamin100 yang terdiri daripada 30 pelajar terpilih dari sekolah-sekolah di Perak, Pulau Pinang dan Kedah telah memulakan program mereka sejak September tahun lalu dan dijangka menjalani kem kedua mereka pada Mei nanti.

Terdahulu dalam ucapannya sempena majlis itu, Kamalanathan berkata, pihak kementerian kini menggalas tugas yang mencabar bagi mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad ke-21.

Jelasnya, sistem pendidikan secara keseluruhannya baik dari segi kurikulum dan pendekatan, manakala penyampaiannya perlu disesuaikan dengan kehendak dan aspirasi masa depan negara.

“Justeru, sokongan semua pihak seperti daya usaha dan inovasi komuniti akademik di Malaysia dan sumbangan syarikat-syarikat korporat adalah sangat membantu dalam usaha mencapai hasrat murni tersebut,” katanya.


EmoticonEmoticon

Google+ Followers