Tuesday, 12 April 2016

Gred 17, 27 Dimansuh & Digantikan Lebih Tinggi

PUTRAJAYA - Pengenalan gred baharu dan pemansuhan beberapa gred lama adalah antara penambahbaikan 252 skim perkhidmatan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan diumumkan kerajaan, Khamis ini.

Selain perkhabaran baik untuk kakitangan awam yang sedia ada, penambahbaikan itu juga akan membawa manfaat kepada kakitangan baharu yang akan dilantik.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, dalam penambahbaikan itu, gred 17 dan 27 akan dimansuhkan dan digantikan dengan gred yang lebih tinggi.

"Gred 17 dinaikkan ke gred 19, manakala gred 27 menjadi 29. Begitu juga dengan gred 22 akan dinaikkan ke gred 26. Gred 41 dikekalkan.
LAIN ELAUN MASIH KEKAL

"Susulan penambahbaikan itu juga, tangga gaji pokok turut meningkat selaras dengan kenaikan gred mereka. Namun lain-lain elaun masih dikekalkan," katanya kepada Berita Harian semalam.

Gred 17, adalah kakitangan yang mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), gred 27 (kelayakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan pemegang Diploma).

Azih berkata, kakitangan awam juga akan diberi pilihan sama ada menerima skim baharu atau mahu kekal dengan gred lama.

Katanya, penambahbaikan itu juga akan mewujudkan laluan kerjaya yang lebih baik berdasarkan tangga gaji maksimum terbaru.

Beliau mengulas pengumuman Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal di Pulau Pinang semalam, bahawa kakitangan awam akan menerima pelbagai manfaat baharu hasil penambahbaikan 252 Skim Perkhidmatan Awam di bawah SSM yang akan diumumkan Khamis ini.

Mohamad Zabidi menyifatkan penambahbaikan skim itu sebagai yang paling menyeluruh dan memberi banyak faedah kepada penjawat awam dan berkuatkuasa 1 Julai depan.

Katanya, penambahbaikan itu turut membabitkan peluang kenaikan pangkat lebih luas bagi penjawat awam selain langkah menarik bakat baharu bagi berkhidmat dalam bidang utama perkhidmatan awam.

"Penambahbaikan ini dibuat selepas kita mengambil kira pelbagai pandangan daripada 87 rundingan bersama semua kesatuan dan kumpulan sekerja berkaitan bagi menjamin kebajikan 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

PEKELILING DIMUAT NAIK MULAI KHAMIS

"Perkeliling mengenai penambahbaikan ini akan mula dimuat naik di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi rujukan semua pihak, Khamis ini," katanya. - Berita Harian


EmoticonEmoticon

Google+ Followers