Monday, 7 March 2016

Definisi Sekolah Berprestasi Tinggi dan Sekolah Kluster Kecemerlangan

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI

Definisi

SBT ditakrifkan sebagai sekolah yang mempunyai etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan. Sekolah ini mempunyai tradisi budaya kerja yang sangat tinggi dan cemerlang dengan modal insan nasional yang berkembang secara holistik dan berterusan serta mampu berdaya saing di persada antarabangsa dan menjadi sekolah pilihan masyarakat.

Rasional

Menghargai dan memberi pengiktirafan SBT kepada sekolah dalam Sistem Pendidikan Malaysia adalah untuk:

1. Mengangkat Kualiti Sekolah-sekolah Terbaik

Meningkatkan kualiti pencapaian sekolah melalui peningkatan tahap autonomi untuk membolehkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pendidikan (contoh: pengurusan organisasi, pengurusan instruksional, pengurusan kurikulum, pengurusan kewangan dan pengurusan sumber manusia).

2. Menghasilkan Murid Cemerlang

Menghasilkan murid cemerlang yang berkaliber antarabangsa supaya dapat melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan terbaik di dunia dan seterusnya menjadi personaliti unggul dalam semua bidang yang diceburi.

3. Merapatkan Jurang Antara Sekolah-sekolah Dalam Sistem

Menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan ke tahap yang lebih tinggi melalui penandaarasan, bimbingan dan jaringan dengan SBT.

Pemilihan

1. Saringan Pertama

Sekolah yang berada dalam Band Satu (1), iaitu sekolah rendah yang mendapat skor komposit sekurang-kurangnya 85 peratus (%), dan sekolah menengah yang mendapat skor komposit sekurang-kurangnya 90 peratus (%) wajib mengisi Borang Pencalonan Pengiktirafan SBT (BPP-SBT). Skor komposit merupakan 70% Gred Purata Sekolah (GPS) dan 30% Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Sekolah akan disenaraikan mengikut skor komposit dan markah dalam BPP-SBT.

2. Saringan Kedua

KPM akan memilih sekolah yang layak daripada Band Satu (1) untuk dinilai dan diverifikasi dengan Instrumen SKPM dan Annex-SBT oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK). Annex-SBT akan menilai lima (5) ciri kecemerlangan dan keunggulan sekolah iaitu personaliti unggul, anugerah diterima, jalinan, jaringan dan penandaarasan.

3. Saringan Ketiga

Sekolah yang telah diverifikasi oleh JNJK disusun mengikut markah penarafan SKPM dan Annex-SBT. Hanya sekolah yang mendapat skor sekurang-kurangnya 90 peratus (%) dalam penarafan SKPM yang telah diverifikasi oleh JNJK dan skor sekurang-kurangnya 40 peratus (%) dalam Annex-SBT akan diambil kira. Jawatankuasa Pemilihan akan memilih sekolah yang layak untuk diiktiraf sebagai SBT.

4. Ganjaran

Sekolah yang menerima pengiktirafan SBT diberi peruntukan khas, insentif dan latihan untuk pemimpin, guru dan Anggota Khidmat Pengurusan (AKP). Pihak pengurusan sekolah juga diberi autonomi dalam aspek:

- pengurusan kurikulum; pengurusan kewangan; pengurusan sumber manusia berdasarkan prestasi; dan pemilihan murid.

Muat Turun:

SEKOLAH KLUSTER 
DEFINISI

Sekolah Kluster Kecemerlangan ialah sekolah yang cemerlang dalam kelompoknya yang dapat melahirkan murid yang holistik dalam aspek akademik, kokurikulum, sahsiah serta penampilan diri. Sekolah ini juga mempunyai kebitaraan yang mengambarkan watak sekolah.

TUJUAN

Sekolah Kluster Kecemerlangan diwujudkan bagi melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia di samping membangunkan sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kelompok yang sama dan sekolah lain di luar kelompok dan seterusnya menjadi showcase di peringkat antarabangsa.

PELAKSANAAN

Sekolah yang terpilih sebagai SKK perlu dipimpin dan ditadbir oleh pengetua/guru besar cemerlang dalam peranan dan tanggungjawab yang dapat melonjakkan kecemerlangan sekolah mereka. Antara peranan dan tanggungjawab tersebut ialah menyediakan Request for Proposal (RFP).

Setiap SKK diberi Peruntukan Khas Sekolah Kluster untuk membangun dan melonjakkan kebitaraan sekolah hingga berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. SKK boleh membelanjakan peruntukan tersebut mengikut empat komponen yang terdapat dalam RFP iaitu:

I. Aktiviti dan kejurulatihan;

II. Harta modal ICT dan bukan ICT;

III. Pengantarabangsaan; dan

IV. Penyelenggaraan.

SKK perlu menyediakan KPI mengikut keupayaan mereka dengan merujuk kepada panduan KPI oleh PPD, JPN dan KPM.

SKK perlu mempunyai satu bidang kebitaraan akademik dan satu kebitaraan kokurikulum untuk dibangunkan yang menjadi watak sekolah, dan seterusnya melonjakkan kebitaraan tersebut sehingga mencapai peringkat antarabangsa.

SKK akan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah dalam kelompoknya dan perlu menyediakan dan melaksanakan piawaian serta penandaarasan berdasarkan KPI. Tindakan yang boleh diambil untuk mengekalkan kecemerlangan sekolah adalah dengan mengenal pasti dan melaksanakan amalan terbaik, menjalankan kajian impak dan mempromosi kejayaan kepada sekolah lain.

SKK perlu memainkan peranan dalam meningkatkan jalinan kerjasama dan jaringan antara sekolah cemerlang di dalam dan luar negara supaya sekolah ini menjadi showcase negara. SKK juga mengadakan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, swasta atau NGO dalam dan luar Negara untuk membangunkan modal insan cemerlang minda kelas pertama.

SKK merintis perubahan dengan memperkenalkan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran serta melaksanakan kajian tindakan dalam pelbagai bidang. Kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) banyak membantu SKK meningkatkan kecemerlangan SKK terutamanya dalam mengembangkan potensi sekolah, guru dan pelajar terutama dalam aspek kebitaraan yang berupaya mernyerlahkan watak sekolah.

Program Khidmat Masyarakat SKK membuka peluang kepada murid-murid SKK menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Di samping mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat setempat, program ini membantu murid-murid SKK agar lebih berkeyakinan untuk berkomunikasi dan bermotivasi tinggi juga sentiasa bersedia untuk membantu masyarakat setempat.

KRITERIA PEMILIHAN SKK

Pemilihan SKK berdasarkan sembilan syarat generik yang telah dibuat penambahbaikan seperti berikut

I. Melaksanakan Penarafan Kendiri dengan menggunakan SKPM 2003 dengan pencapaian sekurang-kurangnya Tahap Cemerlang 80% dan ke atas;

II. Mematuhi syarat mininum akademik yang ditetapkan mengikut kategori dan tahap sekolah berdasarkan Syarat Pencapaian Akademik Calon SKK [Purata tiga tahun terakhir Gred Purata Sekolah (GPS)];

III. Mencapai kemenangan/kejayaan dalam aktiviti kokurikulum dalam tempoh tiga tahun terakhir (Tahap A dan B sekurang-kurangnya peringkat negeri dan Tahap C sekurang-kurangnya peringkat daerah);

IV. Memenangi anugerah kecemerlangan sekurang-kurangnya di peringkat negeri dalam tempoh tiga tahun terakhir (Tahap A dan B sekurang-kurangnya peringkat negeri dan Tahap C - sekurang-kurangnya peringkat daerah);

V. Sekolah menerima laporan audit tanpa teguran dalam tempoh tiga tahun terakhir;

VI. Tiada kes kehilangan harta kerajaan disebabkan oleh kecuaian pihak sekolah;

VII. Tiada pelanggaran punca kuasa yang mengganggu perjalanan program sekolah dan pengurusan pendidikan dalam tempoh tiga tahun terakhir;

VIII. Semua kes pecah amanah/penyelewengan kuasa/tindakan tatatertib (Perintah Am Bab D) untuk tempoh tiga tahun terakhir (sekiranya berlaku dalam kalangan pengetua, guru besar dan guru) telah diambil tindakan mengikut prosedur yang ditetapkan; dan

IX. Mengurus masalah 3M dengan berkesan (mampu mengurangkan) dalam tempoh tiga tahun terakhir.

SUMBANGAN SKK KEPADA PEMBANGUNAN PENDIDIKAN

SKK berperanan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan negara menerusi beberapa kaedah:

I. Menjadi model kepada sekolah berhampiran;

II. Menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan sekolah berhampiran; dan

III. Berkongsi kemudahan fizikal dan kepakaran dengan sekolah berhampiran.


BILANGAN SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN MENGIKUT NEGERI


Muat Turun:
 
APA PERBEZAAN SBT DAN SEKOLAH KLUSTER?
SEBENARNYA tiada perbezaan ketara antara Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) dalam usaha untuk melonjakkan tahap kecemerlangan sekolah, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud.

Menurut beliau, perbezaan yang ketara bagi SKK adalah peluang mencemerlangkan sekolah terbuka luas kepada semua kelompok sekolah rendah dan menengah tanpa mengira jenis dan lokasi sekolah, di bandar mahupun di kawasan pedalaman.

"SKK bukan sahaja cemerlang dalam pengurusan dan pencapaian sekolah malah mempunyai kebitaraan akademik serta kokurikulum yang dapat mewatakkan sekolah," katanya pada majlis pengiktirafan 30 SKK untuk fasa 4 di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, dengan adanya kepelbagaian ini, maka sekolah tanpa mengira lokasi jika ternyata mempunyai pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum akan mendapat pengiktirafan, bantuan dan peluang pendidikan yang terbaik daripada kerajaan.

"Dengan ini sekolah di luar bandar tidak akan terpinggir daripada menerima faedah pembangunan pendidikan yang dilaksanakan," ujarnya.

Selain itu, SKK merupakan platform atau landasan untuk sesebuah sekolah itu diberi status SBT seperti yang telah dibuktikan oleh 16 SKK untuk kohort pertama pada 2010 dan 10 lagi SKK bagi kohort kedua pada Februari lalu.

Setakat ini, jumlah SKK adalah 124 dan sasaran Kementerian Pelajaran ialah sebanyak 300 SKK menjelang 2015 seperti yang ditetapkan dalam kajian semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan di bawah teras keenam iaitu melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.

Untuk menjana kecemerlangan institusi pendidikan ini, kata Abd Ghafar, dua pendekatan diambil iaitu yang pertama dengan memastikan akses kepada pendidikan dan kesamarataan peluang pendidikan.

"Pendekatan kedua ialah kecemerlangan institusi pendidikan dengan mewujudkan kluster kecemerlangan pendidikan," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap warga SKK menjadi role model dan pembimbing kepada sekolah lain yang berhampiran serta menjadi contoh atau showcase sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

1 comments so far

Terima kasih atas perkongsian info yg sgt berguna. Xkira di mana kita berkhidmat...laksanakan tanggungjawab sebaik2nya utk kebaikan dunia dan akhirat. Jika kita bukan dlm kalangan yg terpilih...kita masih lagi mampu membuktikan kitalah yg telah Allah pilih utk menyumbang bakti memperbaiki kelompok pelajar yg diberikan kpd kita. Semoga kita saling menghormati tugas dan peranan masing2...saling melengkapi dalam membina generasi yg berguna pd bangsa dan agama. Amin.. insyaallah.


EmoticonEmoticon

Google+ Followers